Tuesday, September 8, 2009

Dari isteri untuk isteri

Masih bulan Ramadhan ni .. makanya aku mau nulis tentang topik yang aku ndak pernah sentuh, tapi yang jelas .. perkara yang baik-baik! Terus terang ini bukan aku yang nulis. Yang nulisnya adalah wanita yang bergelar "isteri", didedikasikan khusus juga kepada semua insan yang bergelar "isteri". Silakan membaca go-blog aku ini ...

Adakah syarat untuk isteri patuh kepada suaminya? Adakah perlu suami itu mengikut dulu kehendak isteri, baru isteri wajib patuh? Adakah perlu agar suami itu menjadi suami soleh yang menjiwai perwatakan junjungan mulia baru si isteri wajib tunduk? Adakah perlu untuk suami mempunyai ketampanan sosial dan fizikal baru kita menjadi isteri yang taat?

TIADA! Langsung tidak terdapat dalam mana-mana hadis atau ayat Al-Quran yang menyatakan sedemikian. Cumanya, diajar dan dididik kita melalui sunnah rasul dan ajaran Tuhan agar kita masing-masing menjadi hamba Allah yang sebaik-baiknya. Lantas, walau siapa dan apapun akhlak suami kita, apabila kita memilih untuk menjadi seorang isteri, akurlah kepada peranan seorang isteri.

Apa peranan isteri?

Pernah datang seorang perempuan kepada Rasulullah bertanyakan apakah hak seorang suami kepada isterinya? Jawab junjungan, (secara mudahnya ) andai kaki suami itu bernanah sekalipun dan disapu oleh isterinya dengan wajahnya, masih belum tertunai besarnya hak suami atas isterinya. ( jangan sekali-kali berhujah di sini, “asyik-asyik hak suami sahaja yang dipertikaikan, hak isteri bagaimana?” - andai ini dilayan, kita akan sakit hati dan merasa, “ahhh, dia tak tahu jalankan tanggung jawab sebagai suami, apa pula aku nak jalankan tanggungjawab sebagai isteri! Bagus dua-dua ketuk pintu neraka!” ) Maka jahanamlah rumahtangga!

Maka, jalankan tanggungjawab kita sebaiknya, inilah amalan dan ibadat kita atau sedeqah jariah kita yang akan dihisab oleh Allah swt di padang mahsyar nanti. Inilah penentu sama ada kita penghuni syurga atau neraka.

Jangan sekali-kali dilayan bisikan atau perkataan negatif yang kita ucapkan dalam hati. Apabila bercakap sahaja hati kita dengan cakapan yang berbau sakit hati, dendam kesumat, membanding-bandingkan layanan suami atau sebagainya, cepat-cepat istighfar, maka serta-merta kita akan kembali positif.

Ingatlah omongan hati yang negatif datang dari syaitan, dia mengalir dalam diri kita mengikut aliran darah. Makin kita marah, makin kembang aliran, makin kuat emosi negatif kita. Oleh itu, perasaan marah contohnya, selain membuat kita penat dan menjadikan situasi makin teruk, ia juga mengundang penyakit.

Oleh yang demikian, jadilah isteri yang terbaik kepada suami yang apapun dia, penyangak? perompak? imam? Atau lainnya! Ingatlah Asiyah isteri firaun. Dia isteri kepada lelaki yang teramat jahat dan kejam hingga mengaku dirinya tuhan, tetapi Asiyah tetap memberi khidmat yang terbaik. Kerana itu dia dijanjikan syurga oleh Tuhannya. Kita? Adakah suami kita sejahat firaun? Kalau jawabannya "tidak", lantas apa yang mengekang kita daripada taat dan patuh kepada orang yang ditingkatkan darjatnya oleh Allah itu sendiri?

Taatlah perintah Allah, solat puasa dan taat kepada suami .. anda sebagai isteri bisa masuk ke syurga mengikut mana-mana pintu yang anda pilih. Taatlah perintah Allah, solat dan puasa tapi sakitkan hati suami dan jangan patuh kepadanya .. janganlah mengharap masuk ke syurga, kerna wangian syurga sajapun tidak bisa kita cium.
AKU TABIK KEPADA WANITA YANG NULIS ARTIKEL INI!